Suku Moken

Suku Moken atau dalam bahasa Thai dikenali sebagai Chao Le, adalah satu suku dari bangsa Austronesia yang mendiami kepulauan Mergui, iaitu sekumpulan 800 pulau yang dituntut oleh Myanmar dan Thailand. Mereka yang seramai 2000-3000 orang itu hidup secara separa nomad. Gaya hidup mereka bergantung kepada lautan dan mereka memburu haiwan laut serta mengumpul tumbuhan lautan untuk dimakan.  

Kebudayaan orang Moken dicorakkan oleh bahasa mereka dan kebudayaan mereka. Kerajaan Myanmar dan kerajaan Thailand cuba untuk mengasimilasikan mereka ini ke dalam budaya rantau yang lebih meluas namun usaha mereka masih tidak begitu membuahkan hasil. Suku kaum Moken ini mengalami masa depan yang kabur kerana populasi mereka semakin mengecil dan status tidak beres mereka itu menyebabkan mereka ketinggalan dari segi pemilikan harta tanah, undang-undang imigresen, perbicaraan mengenai ancaman di lautan, program pembangunan masyarakat dan dasar sempadan yang semakin ketat.

Panggilan

Suku kaum ini merujuk diri mereka sebagai Moken. Nama ini digunakan untuk merujuk semua jenis puak yang berbahasa Austronesia yang mendiami pantai dan kepulauan di Laut Andaman sebelah pantai Barat Thailand, wilayah Satun, Krabi, Trang, Phuket, Phang Nga dan Ranong sehingga ke Kepulauan Mergui di Myanmar. 

Kelompok Moken ini terdiri daripada:
  • Orang Moken induk;
  • Orang Moklem;
  • Orang Sireh;
  • Orang Lanta.
Orang Lanta adalah kacukan bangsa yang terbentuk apabila orang Melayu jati mendiami pulau-pulau Lanta. Mereka bercampur dengan orang Melayu Tua dari suku kaum Sireh yang memang sudah berada lama di situ. 

Di Myanmar, orang Moken dipanggil sebagai orang Selung. Di Thailand, mereka dirujuk sebagai Chao Le atau Chao Nam. Rujukan di Thailand itu turut memasukkan sekali Urak Lawoi (Orang Laut). Di Thailand, orang Moken yang diasimilasikan ke kebudayaan Thai disebut sebagai Thai mai atau orang Thai baru. 

Suku kaum Moken ini digolongkan sebagai bangsa gipsi laut, iaitu rujukan umum untuk merujuk sebilangan bangsa yang tinggal di kepulauan dan lautan di Asia Tenggara. Urak Lawoi turut digolongkan sebagai suku kaum Moken, namun bahasa dan puak mereka adalah berbeza. Urak Lawoi lebih rapat lagi dengan orang Melayu jati.

Cara Hidup

Ilmu mereka mengenai laut membolehkan mereka hidup dengan bergantung kepada flora fauna di situ tanpa menggunakan peralatan yang rumit. Mereka cuma memerlukan alatan ringkas seperti jala dan lembing sahaja untuk mendapatkan makanan. Makanan ynag tidak habis pula boleh dikeringkan di atas perahu mereka, dan ditukarkan dengan keperluan lain di pasar tempatan. 

Semasa musim tengkujuh, mereka akan membina perahu tradisional untuk menjadi rumah sementara mereka. Disebabkan kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan menyelam mencari makanan, kanak-kanak Moken boleh melihat dengan baik dalam air. Penglihatan mereka menjadi baik kerana kebiasaan ini. 

Sesetengah orang Moken di Myanmar masih hidup secara nomad dan merayau-rayau di lautan. Mereka hidup dalam perahu kecil yang dibuat sendiri, kabang. Kabang ini menjadi pengangkutan mereka dan juga rumah mereka. Kehidupan mereka kini semakin terancam disebabkan oleh kemodenan. 

Mereka cuma memuja nenek moyang di kayangan dan tidak menganut sebarang agama terancang.

Kawalan Kerajaan

Kerajaan Myanmar dan Thai cuba untuk mengasimilasikan kaum Moken ke dalam kebudayaan masing-masing namun mereka kurang berjaya. Masyarakat Moken Thai kini sudah tinggal menetap dalam kawasan perkampungan di kepulauan Taman Negara Mu Ko Surin di wilayah Phuket, sebelah pantai barat ke utara Phuket dan di pulau-pulau Phi Pgi di wilayah Krabi. 

Laut Andaman bertentangan dengan pantai Tenasserim pernah diperhatikan dengan ketat sekali oleh rejim Myanmar pada 1990-an berikutan penemuan petroleum di situ oleh perbadanan multinasional termasuklah Unocal, Petronas dan lain-lain. Laporan lewat tahun 1990-an melaporkan bahawa berlakunya penempatan semula secara paksa oleh rejim tentera Myanmar. Orang gipsi laut dipaksa supaya berpindah ke daratan. Didakwa bahawa kebanyakan orang Salong (Moken) dipaksa ke daratan pada 1997 berikutan dasar kuku besi kerajaan Myanmar yang memaksa kaum-kaum tertentu dipindahkan ke sesuatu tempat kerana syak wasangka politik, ekonomi dan lain-lain.

Di Thailand, kaum Moken menjadi sasaran rampasan tanah oleh pemaju yang berebut untuk mendapat konsesi di atas tanah adat orang asli itu. Walaupun kaum Moken sudah tinggal di wilayah-wilayah pesisir laut Andaman di Thailand sejak berkurun-kurun, namun mereka tidak pernah mendaftar milikan tanah secara rasmi kerana mereka jahil dalam protokol perundangan.

Tsunami Laut India 2004

Kepulauan yang didiami oleh kaum Moken ini mendapat perhatian media pada 2005 semasa pemulihan semula gempa bumi dan tsunami 2004. Disebabkan mereka ini rapat dengan lautan, mereka dapat meneka kedatangan tsunami di sesetengah tempat pada 26 Disember 2004 dan mampu menyelamatkan nyawa ramai orang.   

Namun, di kawasan kampung pesisir pantai di wilayah Phang Nga seperti Tap Tawan, kaum Moken menderita kerosakan teruk kerana rumah mereka dan perahu mereka dihancurkan oleh tsunami sama seperti kaum Moken di kawasan lain yang berdekatan.