Konsep Kenegaraan Majapahit

Dalam konsep kenegaraan orang Jawa pada abad ke-13 sehingga abad ke-15 M, raja-raja itu dianggap sebagai separa deva. Konsep Devaraja dipakai oleh raja yang memerintah. Maka konsep mandala yang mewakili kekuasaan raja tersebut memberi buah fikiran bahawa kekuasaan raja tersebut memancar dari negara kotanya. Negara kota Majapahit pun akan disembah oleh negara-negara yang terkena mandalanya. 

Sesuatu empayar menurut buah fikiran istana Majapahit ini boleh dibahagikan menjadi tiga lapisan iaitu:
  • Negara Agung, rantau negara kota tempat raja berkuasa memerintah iaitu di Jawa Timur
  • Mancanegara, rantau di sebelah pulau Jawa serta sekitarnya yang mempunyai kebudayaan yang mirip dengan kebudayaan di Negara Agung, tetapi sudah berada di sempadan. Dari sudut pandangan ini, pulau Madura dan pulau Bali bolehlah dilihat sebagai rantau Mancanegara. Begitu juga, Lampung dan Palembang boleh dianggap sebagai Mancanegara.
  • Nusantara, pulau-pulau lain di luar sempadan mandala pulau Jawa namun masih didakwa sebagai jajahan takluknya serta raja-raja di situ diperintah memberi ufti kepada raja Majapahit. 
Pateh Gajah Mada menyatakan dalam Sumpah Palapa beliau yang terkenal itu, berbunyi:
"Sira Gajah Mada pepatih amungkubhumi tan ayun amukita palapa, sira Gajah Mada; Lamun huwus kalah Nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjung Pura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa."
Maksudnya:
Aku, Patih Gajah Mada tidak akan pernah berhenti berpuasa. Aku, Gajah Mada, jika telah mengalahkan pulau-pulau lain, barulah akan berhenti berpuasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, maka barulah aku berhenti berpuasa".
Kitab Negarakertagama mencantumkan wilayah-wilayah "Nusantara", yang boleh dikira pada masa kini mencakupi sebahagian besar daripada wilayah moden dalam Republik Indonesia seperti Sumatera, Kalimantan, Nusa Tenggara, sebahagian daripada Sulawesi dan ditambah lagi dengan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Borneo serta sebahagian kecil daripada rantau selatan Filipina. Secara bunyinya, kata nama khas ini diterbitkan dari bahasa Jawa Kuno iaitu, nusa yang bermaksud pulau dan antara iaitu di seberang.