Dvipantara

Kini, kebanyakan sejarawan Indonesia percaya bahawa konsep kesatuan Nusantara ini bukanlah pertama kalinya dicetuskan oleh Patih Gajah Mada dalam Sumpah palapa sekitar tahun 1336. Sebaliknya, ia diterbitkan lebih awal lagi oleh baginda raja Kertanegara dari kerajaan Singhasari pada tahun 1275. 

Konsep yang dicetuskan oleh baginda raja Kertanegara itu dikenali sebagai konsep Cakravala Mandala Dvipantara. Kata Dvipantara ini adalah kata dalam bahasa Sanskrit yang penuh. Baginda raja Kertanegara mempunyai wawasan untuk menyatukan negara-kota yang ada di kepulauan yang berdekatan dengan kerajaan baginda bagi menghadapi serangan orang Mongol dari utara. Ketika baginda memerintah, benua China diperintah oleh dinasti Yuan, iaitu dinasti orang Mongol.

Atas dasar tersebut, baginda menghantar bala tentera menerusi ekspedisi peperangan Pa-Malayu untuk memaksa negara kota Malayu-Dharmasraya di Jambi untuk bersekutu dengan negara kota Singhasari di Tanah Jawa. Pada awalnya, kempen peperangan tersebut dianggap sebagai penjajahan oleh penduduk Malayu di Jambi. Tetapi kemudiannya, kelihatan bahawa kerajaan Singhasari bukan benar-benar mahu menjajah kerajaan Malayu.

Sebaliknya mereka lebih cenderung kepada berhubungan diplomasi dan memimpin kerajaan Malayu. Sebagai bukti, baginda raja Kertanegara mempersembah murti Pāduka Amoghapāśa sebagai hadiah untuk raja dan rakyat negara-kota Malayu. Sebagai balasan, raja Malayu iaitu Śrī Tribhuvanaraja Mauli Varmadeva, menghantar puteri-puteri baginda, Dara Jingga dan Dara Petak ke Jawa untuk diperisterikan dengan raja Kertanegara.