Pengenalan Negara Kota Orang Melayu

Pada zaman itu, pendita-pendita Hindu dan pedagang India yang menganuti ajaran Buddha dari sebelah benua India mula menaiki kapal-kapal dan menjelajah ke sebelah Asia Tenggara. Ketibaan mereka di sini menyebabkan berlakunya sinkretisme atau persenyawaan antara budaya asli di sini dengan kebudayaan Hindu. Ajaran Buddha aliran Mahayana dan sistem politik Hindu berasaskan kitab Dharmashastra membentuk kehidupan politik, kebudayaan dan sosial di negara-negara kota tersebut.

Di sebelah Semenanjung Tanah Melayu, negara kota Langkasuka menguasai kebanyakan rantau di sebelah utara Tanah Melayu. Kawasan-kawasan itu mempunyai reputasi antarabangsa sebagai rantau pengeluar bahan-bahan mineral seperti bijih timah, emas dan tembaga. Dalam peta Ptolemy, disebut bahawa rantau Semenanjung Tanah Melayu sebagai termasuk dalam rantau the Golden Chersonese. Lokasi kedudukan Langkasuka sebenarnya masih lagi berada dalam perdebatan sejarawan dan ahli arkeologi masih belum menemui kedudukan tuntas kerajaan ini. Setakat ini, kerajaan Kedah yang dikenalpasti sebagai Kataha dalam teks-teks India berbahasa Sanskrit seperti Kathasaritsagara dikaitkan sebagai negara kota pelabuhan kerajaan purba ini di sebelah pantai barat. Tinggalan runtuhan kuil purba masih boleh ditemui di sebelah Kedah. 

Antara abad ke-7 sehingga ke-13 M, kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Tanah Melayu dan juga di Sumatera sana mula dipengaruhi dan ditundukkan oleh empayar Srivijaya yang berpusat di Palembang melalui sistem mandala. Pada tahap-tahap mengikut zaman, pelbagai kerajaan lain seperti Majapahit dari Jawa, Angkor dari Kemboja dan Sri Ayutthaya dari Siam menuntut hak ke atas kerajaan-kerajaan kecil yang mampu dicapai oleh mereka. 

Menjelang abad ke-14 M, kebanyakan negara-negara ini berubah memasuki era baru apabila istana mereka menganuti ajaran Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang dan pendakwah dari rantau orang Arab di sebelah barat sana.

Kerajaan-Kerajaan Melayu
Kebudayaan Melayu
Rujukan
  • Lazardi Wong, the History of Malay Peninsula 40,000 BC - 2018 C, 24 April 2018 (Youtube)