Maklumat Lanjut Champa

Istilah Champa ini digunakan untuk merujuk kepada sekelompok negara-kota bangsa Cham yang melebar sepanjang pantai selatan dan tengah Vietnam moden kira-kira dari abad ke-2 M sehingga tahun 1832 sebelum mereka ditakluki dan diserap ke dalam Vietnam. Kerajaan ini disebut dalam bahasa Sanskrit sebagai nagara Kampa atau sebagai Chanzheng dalam rekod China.

Etnik Cham dalam Vietnam dan Kemboja moden adalah saki baki dari kerajaan ini. Mereka bertutur dalam bahasa Cham dan dialek-dialeknya. Bahasa ini berkait rapat dengan kelompok kecil bahasa Malayo-Polynesia dan bahasa-bahasa jenis bahasa Bali-Sasak. 

Sebelum kerajaan Champa diasaskan, kerajaan ini didahului oleh kerajaan Linyi yang wujud sekitar tahun 192 M. Hubungan antara kerajaan Champa dengan kerajaan Linyi masih tidak jelas. Kerajaan Champa mencapai kemakmuran tertinggi sekitar abad ke-9 dan ke-10 M. Selepas itu, ia mula mengalami kejatuhan akibat tekanan dari kerajaan Dai Viet yang berpusat di Hanoi. Pada 1832, maharaja Viet iaitu baginda Maharaja Ming Mang, menakluki saki baki kerajaan Champa yang sedia berpecah itu. 

Kerajaan Champa mengamalkan adat-istiadat dan kepercayaan orang Brahmin dari benua India sejak awal pengasasannya lagi. Kebudayaan dan keseniannya semua berasaskan kepada kebudayaan Hindu. Hal ini boleh dilihat pada tugu-tugu dewata Hindu yang dipahat oleh orang Champa serta di kuil-kuil yang dibangunkan dari batu bata merah di rantau mereka. Wilayah My Son, yang pernah menjadi pusat keagamaan bagi orang Champa yang beragama Hindu dan wilayah Hoi An, ibu kota pelabuhannya kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. 

Pada hari ini, orang Champa menganuti pelbagai jenis agama. Mereka yang menganuti ajaran Buddha bermula abad ke-15 M dikenali sebagai orang Cham Bani. Mereka yang masih kekal dengan kepercayaan Hindu pula mengamalkan upacara dan merayakan perayaan keagamaan Hindu. Mereka dikenali sebagai orang Cham Balamon (Brahman). Kebudayaan mereka bertahan sejak beribu-ribu tahun lalu. Orang Champa di Kemboja pula kebanyakannya menganuti agama Islam dengan kebanyakannya beraliran Sunni dan minoriti beraliran Syiah.

Rujukan
  • Carl Weiss, Treasures of Champa Kingdom, Weiss Communications, International Marine Salvage, 28 October 2013 (Youtube)